Monday, August 29, 2011

Good Bye...

Pernah dengar kisah ini? Kisah tentang  seseorang yang mula berubah setelah hadir seseorang yang sangat istimewa dalam hidupnya. Kehadiran seorang buah hati yang ditunggu-tunggu. Meskipun mulutnya tidak kedengaran melafazkan doa, namun jauh di sudut hati, dia sentiasa mencari-cari di mana kekasih yang sejati. Yang bakal menyinari hidupnya yang seakan sepi.
 
Syukur pada Ilahi, apa yang ditunggu akhirnya tiba di sisi. Sebuah peluang dari yang maha Esa buat yang mencari. Walaupun dia tidaklah sehebat para auliya mahupun para sahabat-sahabat. tetapi peluang ini masih dikecapi. Peluang memiliki seorang kekasih yang menjadi wasilah perubahan diri. Dari seorang insan yang sering leka kepada seorang insan yang sentiasa menjaga tutur kata. Dari seorang yang sering mengisi masa dengan aktiviti dunia, dengan hadirnya si kekasih hati, hati kini lebih berusaha menambah amal buat sesuatu yang lebih abadi di sana nanti. Bersamanya kekuatan ditemui, lalu bermulalah pengembaraan melawan nafsu sendiri agar tidak lagi leka dibuai duniawi.

Tapi setiap yang bermula pasti akan berakhir, itu janji yang pasti. Telah tiba saatnya sang kekasih pergi membawa diri. Meninggalkan buah hati yang sedang berjuang itu. Pedih, tetapi kedua-duanya tidak mampu melawan takdir ALLAH. Namun bagi yang menghargai kehadiran sang kekasih yang hadir itu, perpisahan ini tidak lain hanyalah sebuah kenangan indah yang akan terus menemani setiap perubahan yang dilakukan dengan kehadiran kekasih yang ditunggu. Semoga semua yang baik yang datang bersama, akan kekal sehingga ke pertemuan seterusnya. Biarpun pilu, tapi kehadirannya untuk satu jangka masa itu takkan disiakan begitu sahaja.  Sama seperti sepasang kekasih yang terpaksa berpisah, namun sentiasa menghargai kehadiran masing-masing, kenangan yang membawa kebaikan takkan pernah dilupakan dan kerana itu, ucapan “Selamat tinggal sayang” dilafazkan dengan harapan moga berjumpa lagi di lain hari.

Tamat sudah kisah ini. Kisah tentang sepasang kekasih yang bertemu dengan takdir ALLAH. Siapakah mereka? Itulah kita dan Ramadhan. Bukan kisah Romeo dan Juliet yang cuba saya nukilkan, tetapi kisah kita dan Ramadhan. Sebuah bulan mulia yang dihadiahkan ALLAH pada hamba-hambaNYA. Sedar atau tidak, ia akan berakhir, malah sangat hampir berakhir. Ia akan meninggalkan kita. Ya, sedarlah kekasih kita ini akan pergi. Jadi, sama ada kisah kita akan berakhir sama seperti apa yang saya gambarkan di atas atau tidak, ia terpulang pada setiap individu.

Kalau sewaktu ramadhan, kita tidak lokek melaungkan alunan ayat-ayat suci Al-Quran setiap hari, adakah akan masih sama setelah ramadhan pergi?

Kalau sewaktu ramadhan, kita sudah terbiasa bangun pagi mengejar berkah bersahur dan mampu solat subuh di awal waktu, adakah setelah ramadhan pergi, adakah kita masih mampu?

“Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya makan waktu sahur menyebabkan berkah.”
[HR. Mutafaq Alaih]

Melalui puasa kita diajar untuk bersyukur dengan apa yang ada dan merasakan kesengsaraan mereka yang fakir dan kelaparan. Agar semua ini menjadi ingatan dalam diri agar tidak lokek untuk memberi dan tidak lupa diri. Namun setelah sebulan ini berakhir, adakah kita masih mampu meletakkan empati dalam diri untuk merasai semua ini?

Pendek kata, adakah ramadhan dianggap sebagai sang kekasih yang membawa kebaikan atau hanya sebuah kehadiran yang dipandang enteng? Berhenti dan berfikirlah.

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredhaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” 

Setelah Ramadhan hadir membawa keberkatan, fasa terpenting adalah setelah ia pergi adakah kita masih mahu tetap dalam mencari keberkatan atau tidak. Kita yang memilihnya, untuk menghargai sebuah kehadiran atau akan kembali ke takuk lama setelah musim ini berlalu dan berangan-angan apabila ramadhan datang lagi, mampu melakukan aktiviti yang sama. Sedarlah pahala bukan saham yang boleh tolong ‘cover’ bila dihempap kerugian dosa.

Tapi bagi yang terlepas pandang keindahan ramadhan kali ini, masih belum terlambat kerana ALLAH itu maha Pengampun dan Penyayang tidak mengira siapa, tempat dan masa.

Ucapkan “Selamat tinggal sayang” pada Ramadhan kerana setiap kenangan yang ada akan terus bersama kita sehingga berjumpa lagi pada masa yang seterusnya.

Sumber : azzariyat

Jom Ikut Kami