بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ 
Bismillahirrahmanirrahim
Bismillahirrahmanirrahim
 Assalamualaikum w.b.t
اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم
اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم
اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم
![]()  | 
| "Sekiranya kamu ingin mengetahui kedudukanmu di sisi TUHANmu..maka lihatlah kedudukan NYA di dalam hatimu." ~HABIB ALI AL JUFRI~  | 
     Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi 
Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah 
pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan 
seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan 
pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk 
cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar
 mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada
 dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini
 hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni,
 tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”
Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”
Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar 
mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:
1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan
 dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan 
menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan 
Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun 
senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ 
ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad),
 “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan
 mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)
Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di 
atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan 
seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan 
terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya 
Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.
Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap 
Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain 
dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.
2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan 
sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati 
seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, 
maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak 
fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.
Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar 
berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu 
bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana 
dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang
 paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi 
SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.
Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW 
menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW 
dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang 
kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada 
Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri 
mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.
Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang 
dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa
 dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan 
serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.
3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk 
bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal 
abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya
 yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap
 kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.
Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot 
kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi 
keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya 
dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.
Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui 
Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan 
bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” 
Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan 
memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)
4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri 
dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. 
Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika 
mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.
Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas 
kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan 
mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana 
diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.
Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai 
ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan 
keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya
 dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah 
berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!
Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat 
istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian 
dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan 
izin, kurniaan dan kehendak-Nya.
Mengasihi Nabi SAW
Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina 
bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran 
tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai 
gelaran dalam kehidupan mereka.
5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang
 yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari 
kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada 
kaum Muhajirin dan Ansar.
Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.
Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.
Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala 
yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara 
yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan 
oleh syarak).
Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW 
mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka 
semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.
6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh 
Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan 
perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang 
bercanggah dengan syariatnya.
Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang 
beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan 
orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun 
orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka 
atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)
“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat 
Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga 
bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan
 Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang 
dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.
Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala 
Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya 
sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW.
 Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda 
SAW.
7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih 
terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya 
manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang 
menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh 
Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah 
al- Quran itu sendiri”.
Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.
8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas 
terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha 
melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.
Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para 
pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, 
adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?
Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!
Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan
sumber: pondokhabib.wordpress.com/ 
  






1 comments:
اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم
Post a Comment