Monday, December 20, 2010

Zubair bin Awwam - pembela Nabi



Zubair termasuk tujuh orang yang mula-mula memeluk agamaIslam. Ketika itu usianya baru lima belas tahun. Dia juga orang yang pertama menghunuskan pedang di jalan Allah. Ketika itu jumlah kaum Muslimin sedikit. Mereka mengadakan kegiatan di rumah Al-Arqam. Tiba-tiba tersebar khabar bahawa Rasulullah meninggal dunia. Zubair bin Awwam terus menghunus pedang dan mengangkatnya ke atas sambil berlari mengelilingi kota Makkah. Padahal, ketika itu usianya masih sangat muda sekali.
Ketika berlaku Perang Hunain, Zubair bin Awwam melihat pemimpin musuh iaitu Malik bin Auf sendirian ingin melarikan diri. Ketika itu, pasukan yang dia pimpin dalam keadaan terdesak. Dengan gagah berani, Zubair bin Awwam menyerbu pasukan musuh dan membuat lawan kucar-kacir.



Kecintaan dan penghargaan Rasulullah kepada Zubair bin Awwam sangat luar biasa. Dalam sebuah hadisnya Baginda bersabda : “Setiap Nabi mempunyai pembelanya, dan pembelaku ialah Zubair bin Awwam.”

Zubair bin Awwam menjadi pembela Rasulullah bukan hanya disebabkan oleh dia ialah sepupunya dan suami Asma’ binti Abu Bakar, tetapi disebabkan oleh keinginannya untuk berkorban di jalan Allah.
Hasan bin Thabit melukiskan sifat-sifat Zubair bin Awwam ini dalam ucapannya, “Dia berdiri teguh menepati janjinya kepada Nabi dan mengikuti petunjuknya. Dia menjadi pembela Nabi. Perbuatannya sesuai dengan perkataannya. Dia tempuh halangan yang dia lalui dan tidak pernah menyimpang. Dia bertindak membela kebenaran, kerana kebenaran itu jalan sebaik-baiknya.”
Ketika meletus Perang Jamal, antara penyokong Ali Bin Abi Talib dengan Aisyah binti Abu Bakar, Zubair menemui ajalnya. Sebelum gugur, dia menyedari kebenaran dan berlepas tangan daripada perang saudara itu. Namun, kerana api fitnah terus membara, salah seorang penyokong Ali bin Abi Talib sempat mengintainya dan menusuknya dari belakang. Ketika itu, dia sedang solat.
Si pembunuh itu pergi menemui Ali bin Abi Talib dengan harapan Ali akan gembira dengan apa yang dia lakukan. Apalagi si pembunuh itu membawa pedang Zubair yang sempat dia rebut.
Mengetahui pembunuh Zubair yang ingin masuk menemuinya, Ali berteriak mengusir lelaki itu, “ Suruh pembunuh Zubair pergi dari hadapanku. Khabarkan kepadanya bahawa Allah telah menyediakan syurga bagi Zubair.”
Ketika pedang Zubair diserahkan kepada Ali, khalifah keempat itu menciumnya sambil menangis, “ Demi Allah, pedang ini telah banyak berjasa, dan digunakan oleh pemiliknya untuk membela Rasulullah daripada ancaman musuh..”

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Ikut Kami