Friday, May 31, 2013

RABIATUL ADAWIYAH

RABIATUL ADAWIAH

Rabiatul Adawiah merupakan seorang wanita yang solehah. Beliau tinggal di Basrah, sezaman dengan Hasan al-Basri. Terdapat pelbagai perkara yang kita boleh jadikan iktibar daripada kisah hidup beliau.
Pada suatu hari, beliau dikunjungi oleh dua orang tetamu yang sedang kelaparan. Ketika itu, beliau ingin menyantap makanannya. Beliau hanya mempunyai dua potong roti dan beliau sendiri dalam kelaparan. Rabiah mulai berfikir bagaimana beliau mampu melayani mereka sedangkan beliau hanya mempunyai dua potong roti. Pada masa yang sama, seorang pengemis datang meminta sesuap makanan daripadanya. Rabiah lalu memberikan dua potong roti tadi kepada pengemis itu. Kedua-dua orang tetamu tadi kehairanan melihat kelakuan Rabiah.
Tidak berapa lama kemudian, pembantu rumah jiran Rabiah datang ke rumahnya sambil membawa sebungkus roti. Pembantu rumah itu berkata, “Ini adalah hadiah daripada tuan saya.”
Rabiah mengambil roti tersebut dan mengira. Didapati jumlah roti yang terdapat dalam bungkusan itu semuanya 18 potong. Beliau mengembalikan semula roti itu kepada pembantu rumah sambil berkata, “Mungkin anda telah tersalah alamat. Roti ini bukan untukku.”
Si pembantu itu cuba meyakinkan beliau bahawa roti itu memang untuknya. Namun begitu, Rabiah tetap menolaknya. Maka, si pembantu itu membawa pulang roti tersebut. Tidak lama kemudian, pembantu itu datang kembali membawa bungkusan roti yang baharu. Roti itu diberikan kepada Rabiah. Rabiah menghitung bilangan roti itu dan mendapati bahawa jumlahnya ialah 20 potong. Beliau pun berkata, “Ini barulah hadiah untukku.”
Kedua-dua tetamu yang melihat kelakuan Rabiah menggeleng. Mereka hairan dengan sikapnya. Lalu, mereka pun bertanya, “Wahai Rabiah, mengapa kamu menolak bungkusan roti yang pertama dan menerima bungkusan roti yang kedua?
Rabiah menjawab, “Aku tahu bahawa kamu berdua sedang lapar tetapi aku hanya mempunyai dua potong roti untuk aku hidangkan. Aku merasa sangat malu jika menghidangkan makanan yang sederhana ini untuk kamu. Disebabkan itu, ketika pengemis itu datang, aku memberikan roti itu kepadanya sambil berdoa kepada Allah, ‘Ya Allah, aku percaya kepada firman-Mu bahawa satu sedekah di jalan-Mu akan Engkau gandakan menjadi sepuluh kali ganda.’ Dengan menyebut nama Allah yang Mulia, aku berikan semua yang kumiliki kepada si pengemis dengan harapan agar Allah membalas kepadaku sepuluh kali ganda supaya aku dapat menjamu kamu. Pada mulanya aku hanya mendapat lapan belas potong roti. Disebabkan itulah, aku merasa bahawa hadiah itu bukan ditujukan kepadaku kerana masih kurang dua potong. Ketika dua puluh roti datang, barulah aku yakin bahawa inilah balasan daripada Allah atas sedekahku.” (Tapasi Rabyah, Syed Emdad Ali)
Rabiatul Adawiah tidak suka berhubungan dengan mana-mana lelaki yang bukan mahramnya. Beliau sangat teguh mencintai Allah tanpa memberi ruang kepada lelaki lain. Beliau pernah berkata, “Kecintaanku kepada Allah telah merampas hatiku sehingga aku tidak menemui satu ruang pun untuk persahabatan mahupun permusuhan dengan sesiapapun.” (Tapasi Rabyah, Syed Emdad Ali)
Pada suatu hari, seorang lelaki datang menemui Rabiah dengan keadaan kepalanya berbalut. Rabiah bertanya, “Kenapa kepalamu berbalut?”
Jawab lelaki itu, “Aku rasa sakit kepala yang hebat sejak kelmarin.”
“Berapakah umurmu sekarang?”
“Tiga puluh tahun.”
“Pernahkah kamu rasakan sakit atau sulit seperti ini sepanjang hidupmu?"
“Tidak.”
“Selama tiga puluh tahun Allah telah menjaga kesihatan tubuhmu tetapi engkau tidak pernah membalutnya dengan balutan syukur. Cuma satu malam engkau rasa sakit di kepala, tetapi engkau telah membalutnya dengan balutan keluhan.” (Rabyah the Mystic, Margaret Smith)
Ketika tiba musim bunga pada suatu tahun, kota Baghdad menjadi sangat cantik dan indah. Pembantu Rabiah mengajaknya keluar dengan berkata, “Wahai cik puan, marilah kita keluar untuk melihat keindahan yang mengagumkan.”
Rabiah menyahut dari bilik solatnya, “Apalah yang akan dapat kulihat daripada keindahan dunia yang fana di luar sana? Marilah ke sini untuk menghayati keindahan Allah yang telah mencipta musim bunga ini.” (Tapasi Rabyah, Syed Emdad Ali)
Begitulah teguhnya hati Rabiah yang tidak pernah terpesona dengan kecantikan dunia dan sentiasa tenggelam dan cintanya kepada Allah SWT. Biarpun beliau pernah ditawarkan sebagai isteri oleh beberapa orang ulama terkemuka tetapi beliau menolaknya. Beliau lebih rela bersendirian tanpa ada apa-apa hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.
Pada suatu hari, beberapa orang lelaki yang merasa cemburu dengan populari Rabiah datang menemuinya. Mereka berkata, “Di seluruh dunia ini, sifat-sifat utama selalu menjadi perhiasan kaum lelaki. Kaum wanita tidak memiliki sedikitpun keistimewaan tersebut. Kaum lelaki selalu menjadi juara di bumi ini. Maka, bilakah wanita akan mampu mewarisi keunggulan lelaki?”
Rabiah menjawab, “Semua yang kamu katakan itu benar. Namun demikian, cuba kamu sebutkan nama seorang wanita di seluruh dunia yang disebabkan keangkuhannya, dia lantas mengaku sebagai tuhan dan meminta agar orang lain menyembahnya? Keangkuhan adalah sifat khusus kaum lelaki dan bukan wanita.” (Tapasi Rabyah, Syed Emdad Ali)
Pakaian Rabiah sangat sederhana. Beliau sering kelihatan compang-camping. Pada suatu hari, beliau ditemui oleh seorang pegawai dari Basrah. Pegawai itu simpati melihat pakaian Rabiah. Lalu, beliau berkata, “Ibu, jika ibu bersedia, banyak orang di sini yang akan merasa bersyukur bila mereka diberi kesempatan memenuhi segala keperluanmu.”
Rabiah menjawab, “Anakku, aku malu mengutarakan keperluan hidupku dengan orang lain. Alam semesta seluruhnya milik Allah. Jika aku rasa memerlukan sesuatu, aku akan mengemis kepada-Nya sehingga dikabulkan.” (Tapasi Rabyah, Syed Emdad Ali)
Ada seseorang bertanya kepada Rabi'ah, “Berjalan di atas air, terbang di udara, bukankah ini menunjukkan kedekatan seseorang kepada Tuhannya?”
Rabiah menyahut, “Tidak. Sama sekali tidak. Kalau hanya itu, ikan yang paling kecil sekalipun boleh bergerak dalam air dengan senang lenang dan serangga yang paling lembut pun dapat terbang di udara dengan mudahnya. Ini adalah hal-hal yang remeh. Itu semua sama sekali tidak membuktikan kesempurnaan rohani. Itu sama sekali adalah soal lain dan tidak ada hubungannya dengan kehidupan kerohanian.”

1 comments:

As claimed by Stanford Medical, It's in fact the SINGLE reason this country's women get to live 10 years more and weigh an average of 42 pounds less than we do.

(And realistically, it has totally NOTHING to do with genetics or some secret diet and EVERYTHING around "how" they eat.)

P.S, I said "HOW", not "WHAT"...

Click on this link to see if this short questionnaire can help you decipher your real weight loss possibility

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Ikut Kami