Sunday, May 29, 2011

PeSaN tAqWa UnTuK pEmErInTah

Surat ini ditulis dan diutus oleh Imam Auza’ai kepada Khalifah al-Mansur,pemerintah Abbasiyah.

Wahai Amirul Mukminin ! Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Sesiapa sahaja dalam kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”

Wahai Amirul Mukminin !

Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.

Hendaklah tuan tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, dan bersimpatilah dengan musibah yang menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin !

Urwah bin Ruwain berkata :” Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibrail bertanya : ‘ Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untukmenghancurkan atau menakutkan hati umatmu ?”

Wahai Amirul Mukminin !

Relakanlah dirimu dengan dirimu ! dan carilah keamanan daripada Tuhanmu ! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Sesungguhnya tempat letak panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat At-Tabarani no. 6134)

Wahai Amirul Mukminin !

Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin !

Ingatlah kata-kata Umar Al-Khattab : “Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq) nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak ! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu ?”

Wahai Amirul Mukminin !

Allah telah berfirman yang bermaksud : “Hai Daud ! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah.” (Surah Sad 38:26)

Wahai Amirul Mukminin !

Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota dari badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu dihitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik nescaya ia terlepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu jahat nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun)

Wahai Amirul Mukminin !

Umar r.a berkata : Amir (pemerintah) itu ada empat jenis :

1.Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya ia seperti mujahid (orang yang berjihad)

2.Amir yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Ia berada di tepi jurang kebinasaan, kecuali Allah menurunkan rahmat ke atasnya.

3. Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya tetapi membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia berada dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud “Pengembala yang terjahat itu bahaya yang mnghancurkan. Dia itu binasa sendiri”

4. Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa.

Wahai Amirul Mukminin !

Umar Al-Khattab telah berdoa : Wahai tuhanku ! Sekiranya menurut IlmuMu, aku akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata.”

Wahai Amirul Mukminin !

Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Ikut Kami