Thursday, December 15, 2011

Ada Apa Dengan TAWADUK?

   



Jika kita membicarakan perihal TAWADUK, sudah pastinya setiap seorang dari kita akan mengetahui bahawa tawaduk itu sebenarnya adalah merupakan sifat merendah diri. Ya, sememangnya benar sifat tawaduk ialah merendah diri. Namun, apakah kita mengenali tanda-tanda seseorang itu tawaduk(merendah diri) di hadapan Allah S.W.T.?

Di antara tanda tawaduk seseorang itu ialah bersedia menerima kebenaran meskipun daripada orang yang lebih muda. Ia tidak membawa kehinaan, malah mengundang penghormatan dan rasa kagum daripada orang di sekelilingnya.

Jika ia seorang ibu atau bapa yang merendah diri dengan menerima segala kebenaran atau hikmah yang diucapkan oleh anaknya, maka ia akan mengeratkan hubungan silaturahim antara anak dengan ibu bapanya serta anaknya juga akan merasakan ketenteraman apabila berada bersama ibu bapanya. Jika ia seorang pemimpin, semua pimpinannya akan turut melahirkan rasa hormat dan kagum terhadap pemimpin mereka sekiranya beliau menerima segala nasihat dan kebenaran dari anak buahnya. Jika ia seorang ulama, maka sifat ini menambahkan lagi ilmu dan wibawanya.

Imam ahli hadis dan fiqah di Kufah, Waki' bin al-Jarrah, pernah berkata: "Tidak akan sempurna seorang ulama' sebelum ia belajar daripada orang yang lebih tua daripadanya, yang lebih muda daripadanya dan daripada yang seusia dengannya."

Sikap menolak kebenaran juga diumpakan sebagai suatu kesombongan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain." (Riwayat Muslim)

Di sini, saya akan menceritakan sebuah kisah berkenaan Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari, ahli hadis yang sangat terkenal dengan kitab karangannya al-Jami'ah al-Sahih (Sahih al-Bukhari).
     Ketika masih kecil, Imam al-Bukhari sering mendatangi majlis seorang ulama hadis bernana al-Dakhili untuk menulis hadis daripadanya. Dalam suatu majlis awam, di hadapan orang ramai, al-Dakhili keliru membaca sanad hadis: "Sufyan daripada Abu al-Zubair daripada Ibrahim..."
     Al-Bukhari yang ketika itu baru berusia 11 tahun segera menegur gurunya. Beliau berkata: "Sanad ini keliru. Abu al-Zubair tidak pernah meriwayatkan hadis daripada Ibrahim."
     Mendengar teguran ini, al-Dakhili membentaknya, namun al-Bukhari tetap yakin dengan pendapatnya. Beliau berkata: "Cubalah tuan periksa kembali buku catatan tuan."
     Al-Dakhili segera masuk ke dalam rumahnya untuk merujuk buku catatannya. Tidak lama kemudian, beliau keluar sambil berkata: "Bagaimanakah sanad yang sebenarnya, wahai budak?"
     Al-Bukhari berkata: "Sanad sebenarnya adalah daripada al-Zubair bin 'Adi (bukan Abu al-Zubair) daripada Ibrahim..."
    Al-Dakhili segera mengambil pensel, lalu membuat pembetulan dalam kitabnya sambil berkata: "Kamu benar."

Maka jelaslah kisah ini menceritakan perihal seorang guru yang sedia menerima kebenaran walaupun dari seorang budak.Wallahu'alam...^_^

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Ikut Kami